Sesuatu yang perlu dipelajari dari akktivis pro-Palestin Itali

Semalam 27 Nov 2011, peserta konvoi A2G & A2G2, Dr. Mohd Zin singgah di Leonardo Da Vinci International Airport, Rome di dalam perjalanan ke Venice untuk menghadiri dan membentang kertas kerja di persidangan antarabangsa berkaitan pembangunan mampan.

Terharu dan tergamam apabila terserempak dengan satu tabung bantuan kemanusiaan Palestin di hadapan sebuah restoran yang dilalui ramai manusia. Tertulis nama Muhammed dengan gambar kanak-kanak Palestin 8 tahun itu. Tentunya tabung yang sangat menarik ini adalah bagi kempen kesedaran Palestin dan kutipan derma untuk Palestin.

Teringat dan terbayang suasana manis ketika bersama-sama aktivis Itali iaitu dari International Solidarity Movement (ISM) di dalam perjalanan Misi Kemanusiaan Global Jalan Darat VP5 yang turut disertai Aqsa Syarif yang merentasi bumi Italy sebelum menyeberang ke Greece.

ISM Itali dalam konvoy tersebut menghantar pelbagai kenderaan bersama barangan bantuan. Yang menariknya, merekalah satu-satunya negara yang menghantar kenderaan ambulans yang sudah dilengkapi dengan pelbagai peralatan. Suasana meriah sepanjang perjalanan hampir 6,000 km itu terserlah kerana 3 buah kenderaan dari ISM Italy berwarna kuning memiliki bunyi siren ambulans dan ianya juga ditugaskan mengawal perjalanan konvoi A2GVP5 yang panjang. Aktivis Italy juga membawa tambahan beberapa kenderaan lain.

Peserta ISM adalah terdiri dari pelbagai lapisan yang diketuai seorang aktivis yang sudah berumur (sekitar 68 tahun) dan beberapa kali telah ke Gaza dan Palestin. Anak-anak muda yang bekerja biasa juga turut serta dan dari 12 orang mereka hanya seorang beragama Islam iaitu Saudara Lutfi.

ISM Italy tersebut begitu gigih dan terancang di dalam kempen pro-Palestin mereka. Bukan sekadar mengutip sumbangan untuk Palestin, penghasilan poduk-produk Palestin yang pelbagai jenis juga dihasilkan dan dijual di tengah-tengah ‘Square’ di tempat kami berkumpul di salah sebuah kota di Itali pada Sept 2010 yang lalu. Mereka juga menganjurkan kempen boikot bukan sekadar boikot makanan seperti McD, Nastle dan lain-lain, malah mereka melaksanakan kempen boikot ekonomi, alihkan pelaburan, buat sekatan dan boikot kebudayaan dan boikot Pelajaran – Boycott, Divestment and Sanctions Against Israel.

Usaha para aktivis di Itali bukannya mudah. Dengan latar belakang Itali yang begitu kuat berpegang kepada agama Kristian, bagaimanakah para aktivis dapat menjalankan usaha-usaha menongkah arus berjuang untuk Palestin di tengah-tengah masyarakat yang mungkin seolah-olah tiada kena-mengena langsung tentang Palestin (geografi, fahaman, agama dan sebagainya)?

Banyak yang boleh dipelajari dari usaha-usaha aktivis pro-Palestin.

Lihat capaian salah satu laporan A2G ketika di Itali di http://aqsa2gaza.blogspot.com/2010/09/konvoi-menuju-itali.html

Artikel asal: http://aqsa2gaza2.blogspot.com/2011/11/sesuatu-yang-perlu-dipelajari-dari.html