Print

Ahli Parlimen Palestin hadir majlis Maulidur Rasul di Kampung Maju Jaya

on .


Penduduk Kampung Maju Jaya, Pekan Nenas, Johor begitu bertuah pagi Ahad lalu, 12 Februari 2012 apabila sambutan Maulidur Rasul yang mereka anjurkan di masjid kampung mereka dikejutkan dengan kunjungan ahli Parlimen Palestin iaitu Sheikh Dr. Muhammad Shehab dan rombongan Aqsa Syarif serta ahli jawatankuasa IKRAM Pontian.

 

Majlis yang dihadiri lebih 250 orang penduduk di kalangan para pemimpin masyarakat setempat, penduduk kampung dan para pelajar sekolah adalah merupakan program tahunan sambutan Maulidur Rasul kampung tersebut. Penceramah jemputan pada tahun ini ialah Prof. Madya Dr. Mohd Zin Kandar dengan tajuk "Kehidupan Rasulullah SAW dan Perjuangan di Palestin Kini" disampaikan dengan bantuan persembahan multimedia.

Para hadirin didedahkan tentang pribadi Rasulullah SAW sebagai bukan sahaja seorang rasul yang mengajarkan perkara-perkara berhubung akidah, ibadah, akhlak dan syariat, tetapi Rasulullah SAW juga adalah seorang pendidik (murabbi) dan pejuang kebenaran dan kemanusiaan yang telah berjaya membangun suatu ummah Islam (generasi Qur'an) dan berjaya membawa umat manusia untuk tunduk dan patuh kepada Allah dan ajarannya. Di dalam perjuangan Rasulullah SAW, jihad dan pengorbanan adalah sebahagian dari misi kerasulannya.


Apa yang dilakukan oleh pemimpin dan rakyat Palestin hari ini di dalam mempertahankan bumi Palestin, Bumi Ambiya' dan Masjidil Aqsa adalah suatu sunnah perjuangan yang diajar oleh Rasulullah SAW dan kita umat Islam harus mempelajari dan membantu mereka dengan apa juga keupayaan dan kemampuan kita. Kini bumi Palestin dijajah dan Masjidil Aqsa dikepung oleh rejim Zionis Yahudi, maka menjadi kewajipan seluruh ummat untuk berusaha membebaskannya.

Rasulullah SAW menganjurkan agar umat Islam beramai-ramai menziarahi Masjidl Aqsa dan bersembahyang di dalamnya dan jika tidak mungkin, "Hantarlah minyak untuk menyalakan lampu-lampu di Masjidil Aqsa." Hadith tersebut menggambarkan bagaimana seluruh ummat berkewajipan membantu memelihara Masjidil Aqsa dan menghulurkan bantuan-bantuan bagi menjaga kesucian masjid milik umat Islam keseluruhannya. Seterusnya berusaha membantu agar Masjidil Aqsa dapat dibebaskan dan umat Islam dapat ke sana tanpa ada sekatan dari tentera rejim Zionis.


Selepas ceramah yang disampaikan Dr. Mohd Zin, tetamu Palestin diberikan peluang menyampaikan sepatah dua kata dan nasihat kepada para hadirin untuk sama-sama membantu perjuangan rakyat Palestin. Ucapan beliau diterjemahkan oleh Ustaz Suhaimi Jairi, Setiausaha IKRAM Pontian. Turut hadir juga ialah En. Abdul Halim, Pengerusi Jawatankuasa Pemuda-Remaja IKRAM Pontian, Ustazah Siti Mariah, Pengerusi Jawatankuasa  Kemasyarakatan IKRAM Pontian dan Ustaz Rofazlin Jusuh, Pengurus Aqsa Syarif Bandaraya Johor Bahru.

Di dalam ucapan alu-aluan di awal majlis, Pengerusi Jawatankuasa Majlis, En. Ruslan Abu Bakar menyatakan kesyukuran dan bertuahnya di atas kedatangan wakil Palestin walaupun tidak dirancang. Majlis diserikan dengan bacaan Qur'an dan nasyid kanak-kanak. Tuan Haji Md Noor, Ketua Kampung dan Haji Mahmud Kartubi, Imam turut bersyukur dan mengharap agar kerjasama dengan pertubuhan IKRAM dan Aqsa Syarif dapat diteruskan.

Kutipan sumbangan untuk Palestin turut juga diadakan dan alhamdulillah dua tabung Palestin mendapat sambutan dari orang kampung yang berpusu-pusu menderma baik dewasa mahupun di kalangan kanak-kanak.

Add comment


Find us on Facebook
Find us on YouTube
Find us on Scribd
Follow Us on SoundCloud