Print

Kenyataan Rasmi MyCARE Ke Atas Pembunuhan Dr. Fadi Al Batsh

on .

Saya bagi pihak MyCARE dan seluruh rakyat Malaysia mengutuk pembunuhan kejam yang dilakukan ke atas warga Palestin Dr. Fadi al Batsh. Beliau ditembak sekitar 6 pagi tadi ketika sedang berjalan menuju ke sebuah masjid untuk menunaikan Solat Subuh tidak jauh dari kediamannya di Gombak

Kami mendesak supaya pihak keselamatan melakukan penyiasatan terperinci supaya pembunuh beliau dapat dikesan dan kadar segera untuk dijatuhkan hukuman setimpal. Di samping itu kita percaya pihak polis dengan segala kemampuan dan pengalaman yang ada akan berjaya membongkar episod pembunuhan ini sehingga ke dasar.

Sebagai warga Palestin dari Gaza yang telah bermastautin di Malaysia dengan rekod pencapaian akademik dan profesional yang cemerlang di samping sumbangan besar beliau kepada umat islam, kemungkinan beliau menjadi sasaran musuh Zionis Israel tidak boleh ditolak. Modus operandi yang melibatkan pembunuh profesional tidak menolak kemungkinan ia dirancang agen atau operatif Mossad Israel.

Episod pembunuhan ini menimbulkan persoalan yang menuntut jawapan segera. Adakah Malaysia kini terdedah kepada operasi pembunuhan yang dirancang oleh ejen asing. Pembunuhan ke atas Dr. Fadi seakan mengukuhkan lagi sangkaan ini ekoran beberapa kejadian bunuh yang melibatkan warga asing di negara ini.

Malaysia yang terkenal sebagai negara yang sangat prihatin kepada warga Palestin, memberi perlindungan dan peluang pendidikan kepada mereka yang berpotensi kini mungkin menjadi sasaran kepada ejen-ejen Zionis yang bergerak di dalam negara sebagaimana yang berlaku di negara negara lain sebelum ini.

Dengan itu, kita menyeru Kerajaan untuk menyelesaikan kes ini supaya ia tidak berulang dan keselamatan pihak yang memperjuangkan isu dan nasib rakyat Palestin termasuk warga Palestin yang menganggap Malaysia sebagai negara mereka sendiri terjamin dan tidak diganggu gugat oleh musuh luar.

Kita mengucapkan takziah kepada keluarga al marhum iaitu isteri dan tiga anak beliau yang masih kecil, juga keluarga beliau yang berada di Gaza dan seluruh warga Palestin dan Malaysia yang menangisi pemergian seorang insan yang sangat berpotensi pada umur yang sangat muda (35 tahun).

Dr. Hafidzi Mohd Noor
Pengerusi
MyCARE

Find us on Facebook
Find us on YouTube
Find us on Scribd
Follow Us on SoundCloud