Print

Perutusan Aidilfitri 1438H

HUMANITARIAN CARE MALAYSIA (MyCARE)
1 SYAWAL BERSAMAAN 25 JUN 2017

BERSAMA RAIKAN KEMANUSIAAN

Bersempena 1 Syawal yang berbahagia ini, saya mewakili barisan Ahli Lembaga Pemegang Amanah MyCARE dan seluruh jentera pentadbiran, aktivis dan sukarelawan MyCARE, di peringkat pusat, negeri dan daerah, di dalam dan luar negara, mengucapkan ‘Kullu Aam, wa antum bikhair, taqabalallahu minna waminkum’ kepada seluruh rakyat Malaysia yang telah berjaya melalui sebulan tarbiyah di bulan Ramadan.

Pada hari kemenangan ini, MyCARE ingin mengajak kita semua untuk turut menginsafi dan mengenang nasib saudara-saudara seagama kita yang terpaksa menyambut kedatangan Syawal dalam keadaan serba kekurangan, khususnya umat Islam yang dilanda konflik peperangan di Syria, Palestin, Yaman, Myanmar dan seumpamanya. Di tengah-tengah kegembiraan ini, harapnya kita tidak melupakan mereka yang masih dirundung kehausan dan kelaparan.

Konflik di Syria masuk tahun yang ke-7 pada tahun ini. Sungguhpun perang sudah menelan hampir 500,000 nyawa, konflik ini masih belum nampak penghujungnya. Serangan masih berlaku di Daraa, Homs, Hama, Idlib dan Raqqah. Terbaru, kita dikejutkan dengan tindakan biadab regim Bashar al-Assad menggunakan senjata kimia ke atas orang awam. Serangan yang berterusan telah menyebabkan lebih ramai rakyat Syria kehilangan tempat tinggal dan orang yang tersayang.

Bagi rakyat Palestin pula, sebahagian besar masih menyambut Aidil Fitri dari kem-kem pelarian dan di belakang jeriji penjara, jauh dari kampung halaman dan terpisah dari sanak-saudara. Di Gaza, rakyat Palestin menyambut Syawal dalam keadaan serba kekurangan ekoran kepungan regim Zionis Israel yang sudah berlanjutan lebih 10 tahun. Di Tebing Barat dan Baitulmaqdis, rakyat Palestin dikenakan pelbagai sekatan sehingga untuk beriktikaf di Masjid al-Aqsa pun dihalang.

Di Myanmar, etnik Rohingya terus terkurung di sebalik kem-kem pelarian tanpa peluang yang sewajarnya untuk membangunkan kehidupan mereka. Mereka tidak diiktiraf sebagai warganegara dan sering menjadi sasaran kejian dan serangan puak pelampau.

Senario-senario seperti inilah yang menjemput MyCARE untuk menyantuni umat Islam yang terkesan dengan pelbagai konflik pada setiap bulan Ramadan melalui kempen infaq ‘MyRamadan: Ibadah Kita, Kegembiraan Mereka’. Pada tahun ini MyCARE menyasarkan bantuan ke 21 buah negara termasuk Malaysia.

Alhamdulillah, setakat 25 Ramadan MyCARE telah menyalurkan lebih RM2 juta bantuan kemanusiaan berupa pek makanan, iftar dan hadiah hari raya ke Syria, Palestin, Iraq, Myanmar, Malaysia dan beberapa lagi negara hasil sumbangan orang ramai sejak awal Ramadan. Gambar dan video penyaluran bantuan-bantuan ini boleh didapati di Facebook MyCARE dan agensi-agensinya.

Proses penyaluran bantuan ini akan terus berjalan kerana kempen ini akan berlangsung sehingga 7 Julai (13 Syawal 1438H). Justeru, orang ramai yang masih ingin menyumbang untuk kempen ini masih berpeluang untuk berbuat demikian. Selain kita mempererat hubungan dengan ahli keluarga dan sanak-saudara pada bulan Syawal ini, marilah kita sama-sama mempererat juga hubungan ukhuwah kita dengan umat Islam sejagat yang memerlukan melalui amalan sedekah.

Semoga segala amal yang kita lakukan sepanjang Ramadan tahun ini diterima oleh Allah SWT. Selamat Hari Raya Aidil Fitri, Maaf Zahir dan Batin.

‘Nurturing Humanity, Making a Difference’

PROF. MADYA DR. HAFIDZI MOHD NOOR
Pengerusi
Humanitarian Care Malaysia (MyCARE)

Find us on Facebook
Find us on YouTube
Find us on Scribd
Follow Us on SoundCloud