Print

Hari Ini Dalam Sejarah | 30 Mac 1976 : Hari Tanah Palestin (Yaumul Al-Ard/The Land Day)

on .

Pada 11 Mac 1976, kerajaan haram Israel telah mengumumkan ‘Projek Pembangunan Wilayah Galilee’ dalam cubaan merampas lebih banyak tanah rakyat Arab di kawasan perkampungan Sakhnin and Arraba di wilayah Palestin 1948 (Israel pada hari ini). Perkampungan ini merupakan antara kawasan perkampungan Arab-Palestin yang masih kekal bertahan sejak penubuhan negara haram Israel pada tahun 1948.

Projek pembangunan ini mendapat jolokan ‘Projek Pengyahudian Galilee’ kerana kerajaan Israel cuba mengubah demografi di wilayah itu untuk memastikan setiap perkampungan utama Arab Palestin mempunyai kawasan penempatan Yahudi di dalamnya. Projek yang berselindung di sebalik nama ‘projek rasmi kerajaan Israel’ ini tidak lain hanyalah helah Israel untuk terus menghalau rakyat Palestin, merampas tanah mereka dan menambah lebih banyak kawasan penempatan Yahudi untuk imigran Yahudi yang datang dari seluruh pelusuk dunia.

Langkah kerajaan haram Israel ini telah menyebabkan parti rakyat Arab-Palestin di Parlimen Israel, Knesset, iaitu Parti Rakah (idealogi: komunis) and Parti Abnaa al-Balad (idealogi: sekular) bercakaran antara satu sama lain sementara rakyat Arab-Palestin yang bersama-sama dalam kepimpinan Parti Buruh (idelogi: sosialis) pula mengambil sikap pasif dan terus mendukung idea Zionis.

Namun, majoriti rakyat awam bertekad untuk bangkit membantah langkah kerajaan haram Israel ini. Justeru, apabila kerajaan Israel mengarahkan perintah berkurung bagi mengekang bantahan rakyat Arab di perkampungan Sakhnin, Arraba dan 4 lagi perkampungan Arab-Palestin yang berdekatan (Deir Hanna, Tur’an, Tamra dan Kabul) pada 29 Mac 1976, para pemimpin Arab-Palestin yang sebelum ini berseteru telah sebulat suara menyokong aspirasi rakyat Arab-Palestin di Israel untuk menganjurkan perhimpunan aman membantah tindakan sistematik kerajaan haram Israel merampas tanah rakyat Arab-Palestin.

Perhimpunan ini merebak dengan pantas ke perkampungan-perkampungan Arab-Palestin lain di seluruh Galilee (utara) dan Negev (selatan). Malah, rakyat Palestin di Gaza, Tebing Barat dan di kem-kem pelarian di Lubnan turut membuat perhimpunan tanda solidariti mereka terhadap saudara-mara mereka di Israel.

Penganalisis politik menyifatkan perhimpunan ini sebagai kejayaan luar biasa yang memperlihatkan keupayaan rakyat Palestin untuk bergerak secara kolektif bagi membantah penjajahan Israel sejak tahun 1948.

Bagi meleraikan perhimpunan aman ini, Israel terpaksa menggunakan 4,000 orang anggota polis dan pasukan taktikal dari unit tentera yang dilengkapi dengan kenderaan kalis peluru, kereta kebal dan helikopter.

Di akhir bantahan ini, 6 orang rakyat Arab-Palestin terkorban, lebih 100 cedera dan beratus-ratus lagi telah dihumban ke dalam penjara. Rakyat Arab-Palestin terpaksa membayar harga yang mahal dalam usaha mempertahankan hak mereka di tanah air sendiri.

Sejak itu, 30 Mac setiap tahun akan diraikan sebagai hari peringatan bahawa seluruh tanah Palestin, termasuk wilayah Palestin 1948 yang hari ini digelar sebagai Israel, adalah milik sah rakyat Palestin yang perlu dikembalikan. Ia digelar sebagai Hari Tanah Palestin (Yaumul Al-Ard/The Land Day).

Sambutan ini telah berjaya menghangatkan semula perbincangan tentang hak pelarian Palestin untuk kembali ke kampung halaman mereka seperti mana yang termaktub dalam Resolusi 194 PBB (1948). Ia telah menjadi medium kesatuan dan solidariti rakyat Palestin seluruh dunia walau di mana pun mereka berada.

Add comment


Find us on Facebook
Find us on YouTube
Find us on Scribd
Follow Us on SoundCloud