Print

Perutusan Aidil Adha 1438H

on .

PEMBELAAN UMAT SEJAGAT MENUNTUT PENGORBANAN
10 Zulhijjah 1438H bersamaan 1 September 2017

Aidil Adha merupakan salah satu daripada dua hari kebesaran umat Islam. Ia merupakan hari umat Islam memperingati pengorbanan Nabi Ibrahim as. sekeluarga dalam mentaati perintah Allah SWT. Pada hari ini, umat Islam disyariatkan untuk memperingati pengorbanan ini melalui beberapa rukun dalam ibadah haji, melaksanakan ibadah korban dan menyedekahkan dagingnya kepada fakir dan miskin, menunaikan solat sunat Aidil Adha dan memperbanyakkan tasbih, tahmid dan takbir.

Terkandung dalam semangat Aidil Adha juga adalah tuntutan untuk kita menyemak dan menilai sejauh mana kita telah berusaha melaksanakan tuntutan agama yang telah diamanahkan kepada kita. Ia ibarat satu proses audit tahunan sebelum kita bergerak ke tahun yang baru. Hasil audit ini nanti akan dapat membantu kita untuk memperbaiki kelemahan dan membetulan kesilapan yang telah kita dilakukan agar umat Islam dapat terus maju ke hadapan.

Sempena Aidil Adha pada tahun ini, MyCARE ingin mengajak semua umat Islam untuk menyemak sejauh mana kita telah meneladani ketaatan Nabi Ibrahim as. dalam melaksanakan tuntutan agama khususnya dalam aspek pembelaan golongan yang tertindas dan memerlukan pada hari ini.

Saban hari kita menyaksikan di kaca televisyen dan media sosial penderitaan umat Islam di pelbagai tempat di seluruh dunia. Keganasan di Palestin, Syria, Iraq, Yaman, Afghanistan, Libya, Somalia dan Myanmar terus berlangsung bagai tiada penghujungnya. Kematian sudah menjadi lumrah buat mereka; sama ada disebabkan peluru, bom, kebuluran atau wabak penyakit. Kemiskinan dan kemunduran terus membelenggu umat Islam di Kemboja, Vietnam, Filipina, Indonesia, Sri Lanka dan Nepal. Semuanya layak mendapat perhatian kita semua sebagai saudara seagama.

Terbaru umat Islam Rohingya di utara Arakan diserang dan dibunuh dengan kejam oleh tentera Myanmar (Tatmadaw) menyebabkan ratusan terkorban dan ribuan kehilangan tempat tinggal. Badan antarabangsa - Human Rights Watch (HRW), melaporkan data satelit menunjukkan sekurang-kurangnya 10 buah kampung mengalami pembakaran besar-besaran oleh pihak tentera; 5 kali lebih besar berbanding insiden Oktober tahun lalu. Ia bukti wujud jenayah genosid dan penghapusan etnik yang jelas ke atas etnik Rohingya.

Julai baru-baru ini umat Islam terpukul dengan tindakan biadap rejim Zionis Israel menutup sepenuhnya Masjid al-Aqsa sehingga menyebabkan solat Jumaat tidak dapat didirikan buat pertama kali sejak tahun 1969. Insiden ini seharusnya menyedarkan kita semua bahawa Masjid al-Aqsa, kiblat pertama umat Islam masih dibelenggu penjajahan rejim Zionis Israel. Bahkan, tahun ini merupakan tahun ke-50 penjajahan Zionis ke atas Masjid al-Aqsa. 50 tahun adalah satu jangka masa yang terlalu lama untuk kita terus bersikap acuh tak acuh terhadap keadaan Masjid al-Aqsa.

Keadaan kritikal umat Islam sejagat pada hari ini menuntut kita semua untuk menyahut panggilan jihad membela dan mengangkat semula maruah umat Islam dan karamah insaniah (martabat keinsanan) secara keseluruhannya. Jihad ini menuntut pengorbanan masa, tenaga dan wang ringgit untuk kita memikirkan, merancang dan melaksanakan pelan tindakan yang terbaik untuk membela umat ini.

MyCARE komited dalam menjayakan misi pembelaan umat sejagat. Bermula dengan projek-projek pembelaan rakyat Palestin, kami kini turut bergerak membela umat Islam di Syria, Iraq, Myanmar, Nepal, Somalia dan pelbagai lagi negara yang memerlukan bantuan.

Kami bergerak ke kampung-kampung, sekolah-sekolah, syarikat-syarikat korporat, institusi-institusi kerajaan, masjid, surau dan pelbagai tempat tumpuan awam untuk menjayakan kempen-kempen kesedaran sekaligus mengutip dana untuk tujuan projek-projek kemanusiaan. Aidil Adha ini, MyCARE dengan kerjasama Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) bergerak ke 14 buah negara untuk melaksanakan ibadah korban di komuniti-komuniti yang lebih memerlukan.

Alhamdulillah, hasil pengorbanan dan sumbangan pelbagai pihak, khususnya aktivis dan sukarelawan MyCARE, hampir RM100 juta bantuan kemanusiaan telah berjaya disalurkan sejak tahun 2010. Syabas kepada semua pihak membantu MyCARE secara langsung mahupun tidak langsung. Pun begitu, masih banyak yang perlu kita korbankan kerana keperluan di luar sana jauh lebih besar.

Justeru, bersempena dengan Aidil Adha ini, MyCARE menyeru seluruh umat Islam di Malaysia untuk bersama-sama kami dalam perjuangan ini. Inilah perjuangan yang selayaknya kita curahkan segala keupayaan dan potensi yang kita miliki untuk menjayakannya agar peranan umat Islam sebagai khairu ummah (umat yang terbaik) dapat kita realisasikan dan warisan pengorbanan Nabi Ibrahim as. dapat kita teruskan.

Selamat Hari Raya Aidil Adha dan takabalallahu minna waminkum. Semoga segala amal yang kita lakukan pada Aidil Adha ini diberkati Allah SWT.

'Nurturing Humanity, Making a Difference'

PROF. MADYA DR. HAFIDZI MOHD NOOR,
Pengerusi
Humanitarian Care Malaysia (MyCARE)

Find us on Facebook
Find us on YouTube
Find us on Scribd
Follow Us on SoundCloud