Print

Cadangan Teks Khutbah: The Great Return March

on .

Perarakan besar-besaran rakyat Palestin untuk pulang ke kampung halaman.

 
 اَلْحَمْدُ للهِ الَّذِيْ لَهُ مَا فِى السَّمَوَاتِ وَمَا فِى الأَرْضِ وَلَهُ الْحَمْدُ فِى الآخِرَةِ وَهُوَ الْحَكِيْمُ الْخَبِيْرُ. أَشْهَدُ أَنْ لآ اِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لآ شَرِيْكَ لَهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ. اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ! اِتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاَ تَمُوْتُنَّ إِلاَّ وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ
 
Allah S.W.T telah mendedahkan jiwa orang-orang Yahudi as-Sahyuni (Zionis) yang dicengkam ketakutan yang tidak dapat digambarkan.
 
بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
قُلۡ يٰۤاَيُّهَا الَّذِيۡنَ هَادُوۡۤا اِنۡ زَعَمۡتُمۡ اَنَّكُمۡ اَوۡلِيَآءُ لِلّٰهِ مِنۡ دُوۡنِ النَّاسِ فَتَمَنَّوُا الۡمَوۡتَ اِنۡ كُنۡتُمۡ صٰدِقِيۡنَ‏. (6)
وَلَا يَتَمَنَّوۡنَهٗۤ اَبَدًۢا بِمَا قَدَّمَتۡ اَيۡدِيۡهِمۡؕ وَاللّٰهُ عَلِيۡمٌۢ بِالظّٰلِمِيۡنَ‏. (7)
قُلۡ اِنَّ الۡمَوۡتَ الَّذِىۡ تَفِرُّوۡنَ مِنۡهُ فَاِنَّهٗ مُلٰقِيۡكُمۡ ثُمَّ تُرَدُّوۡنَ اِلٰى عٰلِمِ الۡغَيۡبِ وَالشَّهَادَةِ فَيُنَبِّئُكُمۡ بِمَا كُنۡتُمۡ تَعۡمَلُوۡنَ. (8)
 
[Surah Al-Jumu'ah: 6-8]
 
Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai orang-orang yang beragama Yahudi, kalau kamu anggap bahawa kamulah sahaja orang-orang yang dikasihi Allah tidak termasuk umat-umat manusia yang lain, maka bercita-citalah hendakkan mati (dengan meminta kepada Allah supaya kamu dimatikan sekarang juga), jika betul kamu orang-orang yang benar!" (6)
 
Dan (sudah tentu) mereka tidak akan bercita-cita hendakkan mati itu selama-lamanya, dengan sebab dosa-dosa yang mereka telah lakukan; dan Allah sentiasa mengetahui akan orang-orang yang zalim itu. (7)

Katakanlah (wahai Muhammad): "Sebenarnya maut yang kamu melarikan diri daripadanya itu, tetaplah ia akan menemui kamu; kemudian kamu akan dikembalikan kepada Allah yang mengetahui segala yang ghaib dan yang nyata, lalu Ia memberitahu kepada kamu apa yang kamu telah lakukan (serta membalasnya)." (8)

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Ketakutan dan sifat pengecut Yahudi Zionis sedang dilihat dunia sekali lagi pada hari ini.
 
Sejak 30 Mac hingga hari ini, tentera pembunuh Israel telah bertindak ganas dengan menembak penduduk Gaza yang tidak bersenjata dan berhimpun secara aman dalam GRM (Great Return March - Perarakan besar untuk kembali ke tanah air dan kampung halaman mereka).
 
Mereka berkumpul secara aman tanpa membawa senjata untuk membuktikan bahawa rakyat Palestin akan terus berjuang untuk mendapatkan semula hak mereka dan kembali ke kampung halaman, di mana lebih dari 700,000 rakyat Palestin diusir keluar dari bumi Palestin.
 
Setakat hari ini setelah hampir seminggu penduduk Gaza berkhemah di sempadan timur jalur Gaza yang bersempadan dengan negara haram Israel, 16 penduduk Gaza telah syahid menjadi sasaran sniper tentera Israel seramai 100 orang yang diposisikan di sepanjang sempadan.
 
Lebih 1,000 orang tercedera dan sebahagiannya mengalami luka tembakan yang amat parah. Israel bukan sahaja menggunakan peluru hidup bahkan peluru yang mempunyai daya membunuh yang sangat tinggi di mana ia akan pecah bila masuk ke dalam tubuh (seperti kepak rama-rama yang mengembang) atau meleper sehingga mendatangkan kecederaan yang sukar untuk dirawat dan hampir pasti menyebabkan kematian.
 
Perarakan dan perhimpunan aman ini akan berlansung selama enam minggu sehingga 15 Mei 2018. Kenapa 30 Mac sehingga 15 Mei dipilih sebagai tempoh untuk perhimpunan tersebut?
 
30 Mac menandakan satu peristiwa yang dikenali sebagai ‘Land Day’. Pada hari tersebut dalam tahun 1976, Israel mengisytiharkan rampasan ke atas ribuan dunum atau ekar tanah milik rakyat Palestin. Ribuan rakyat Palestin telah bangkit membantah dan mengadakan perarakan dari Galilee ke Negev.
 
Dalam peristiwa tersebut 6 penduduk Palestin syahid, ratusan tercedera dan ratusan yang lain ditangkap oleh tentera pembunuh Israel.
 
15 Mei pula adalah tarikh yang patut terus hidup dalam ingatan umat Islam kerana pada tarikh tersebutlah bermulanya peristiwa Nakbah yang membawa maksud malapetaka besar di mana 700,000 rakyat Palestin terpaksa lari meninggalkan rumah dan tanah air mereka. Mereka menyelamatkan diri dari pembunuhan kejam yang dilakukan oleh tentera pengganas yahudi untuk menimbulkan ketakutan yang amat sangat kepada penduduk Palestin.
 
Dalam peristiwa yang bermula pada tarikh tersebut yang memang dirancang oleh Israel sebagai pelan ‘Dalet’ supaya penduduk Palestin keluar dari rumah mereka sehelai sepinggang dan membawa peralatan ala-kadar yang sanggup mereka bawa, sebanyak 480 pekan dan bandar dikosongkan. Rumah-rumah yang ditinggalkan ini segera dimasuki oleh pendatang-pendatang Yahudi yang dibawa masuk ke Palestin dari Eropah. Mereka mengambil alih rumah-rumah yang ditinggalkan dengan segala perabut dan kelengkapan. Rumah-rumah ini kemudiannya didaftarkan oleh kerajaan haram Israel sebagai hak milik pendatang Yahudi. Rakyat Palestin yang melarikan diri kemudiannya tinggal di khemah-khemah pelarian di sempadan Jordan, Syria, Mesir, Lubnan bahkan di Gaza.
 
Mereka menyangka bahawa mereka hanya akan tinggal sementara di khemah pelarian dan akan pulang dalam waktu segera. Namun perhitungan mereka meleset dan kini sebahagian besar dari generasi pertama pelarian Palestin sudah meninggal dunia dan anak-cucu mereka masih tinggal di khemah pelarian tersebut sehingga hari ini.
 
Mungkin kita masih ingat peristiwa pembunuhan kejam yang melibatkan lebih 3,000 pelarian Palestin di Shabra dan Shatilla di Lubnan pada bulan September 1981 oleh mendiang Ariel Sharon dan sekutunya Phalangis Lubnan. Dalam waktu yang lebih dekat pastinya kita mengikuti kepungan dahsyat yang berlaku di kem Yarmouk akibat tindakan Regim Syria. Mereka terpaksa berhadapan dengan kebuluran yang amat dahsyat sehingga memakan kucing untuk hidup. Mereka juga adalah pelarian Palestin sejak tahun 1948.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Rakyat Palestin berhimpun dan berarak untuk menuntut hak mereka yang sudah dicabuli sejak 70 tahun yang lalu. Mereka hendak mengingatkan masyarakat antarabangsa bahawa hak mereka telah dirampas oleh Israel.
 
Dari segi undang-undang antarabangsa, PBB telah pun meluluskan Resolusi 194 (III) pada tahun 1949 yang mana rakyat Palestin boleh kembali ke rumah mereka dalam waktu yang segera ketika resolusi itu diluluskan 69 tahun yang lalu. Kini setelah 69 tahun resolusi ini diluluskan oleh PBB, Israel langsung tidak mengendahkannya. Bukan sahaja resolusi ini dilanggar dan diingkari, Israel terus melakukan pelbagai bentuk pelanggaran hak di atas pelanggaran hak yang sedia ada!
 
Perhimpunan GRM ini juga bertujuan untuk mengingatkan masyarakat antarabangsa bahawa Gaza sudah dikepung sejak 11 tahun yang lalu. Sejak tahun 2007 sehingga hari ini bukan sahaja Gaza dikenakan sekatan ekonomi dan dikepung dari darat, laut dan udara, bahkan Gaza diserang secara biadab pada tahun 2008/2009, 2012 dan 2014. Kini keadaan Gaza sangat daif sehingga PBB mengisytiharkan Gaza tidak mungkin didiami oleh manusia menjelang tahun 2020 kerana ketiadaan ubat-ubatan, masalah pembentungan dan pengurusan sampah, ketiadaan air bersih dan kemudahan paling asas seperti bekalan tenaga elektrik.
 
Bahkan pada saat ini hospital di Gaza keputusan ubat untuk rawatan penyakit kritikal seperti kes barah yang semakin banyak menimpa kanak-kanak kerana senjata kimia dan radioaktif yang digunakan Israel, sakit kegagalan fungsi ginjal, bayi yang lahir premature dan lain-lain.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Perhimpunan GRM juga mengingatkan kita tentang pengisytiharan Donald Trump yang mengiktiraf Baitul Makdis sebagai ibu kota Israel. Amerika dan beberapa negara budak suruhannya akan memindahkan kedutaan masing-masing dari Tel Aviv ke Baitul Makdis pada 15 Mei. Kononnya 15 Mei disambut sebagai hari ‘kemerdekaan’ Israel sedangkan seluruh dunia sedar tarikh tersebut adalah menandakan tragedi terancang Israel mengusirkan rakyat Palestin dan merampas negara Palestin lalu mengisytiharkan berdirinya negara haram Israel.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Rakyat Palestin menyampaikan pesan yang jelas iaitu mereka tidak punya senjata di tangan mereka, tetapi mereka mempunyai hak dan kehendak yang tidak pernah surut. Semangat mereka tidak akan padam meskipun mereka berhadapan dengan kematian.
 
Perjuangan mereka akan diteruskan oleh anak-anak mereka sebagai mata rantai yang tidak pernah putus sejak nenek moyang mereka dipaksa keluar dari tanah air, tanah kelahiran, tanah tumpahnya darah mereka. Akhirnya dengan izin Allah merekla akan dimenangkan di atas musuh-musuh mereka dan kemuliaan akan kembali menjadi milik mereka. Sekadar mengutip kata-kata seorang pemuda yang tercedera ketika mempertahankan Baitulmaqdis beberapa minggu yang lalu. Rami Abu Dalal mengatakan,

Kami tidak gentar dengan senjata Israel, peluru Israel, peluru getah Israel, peluru hidup Israel. Kami akan tetap berada di sini dan akan membebaskan Baitulmaqdis.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Apa yang sedang berlaku pada hari ini amat sesuai dengan lafaz Nabi kita S.A.W Perhatikan hadis-hadis berikut.
 
Dari Ibn Hajar al-Asqalani, Muadz bin Jabal menyampaikan dari Rasulullah S.A.W,
 
“Allah Maha Besar akan memberi kamu kekuatan untuk menawan as-Syams (Palestin) selepas kewafatanku. Orang laki-laki dan wanita akan bertahan di sana sampai kiamat. Sesiapa di kalangan kamu yang memilih salah satu dari pantai-pantai as-Syams atau Baitul Makdis, adalah mereka itu berada di dalam jihad sehingga hari pengadilan.”
 
Rasulullah S.A.W mengatakan berhubung penghuni Tanah Suci (al-Quds), “Mereka dan isteri-isteri mereka, anak-anak mereka dan hamba (pembantu-pembantu mereka – lelaki dan perempuan) adalah di dalam ribat (pengawal pada kubu) pada jalan Allah. (At-Tabarani)
 
Muawiyah bin Abi Sufyan menyampaikan dari Rasulullah S.A.W, “Ada di kalangan umatku yang sentiasa berada di atas al-haq. Tiada sesiapa yang menentang mereka atau menyakiti mereka sehingga datangnya kiamat.” Para sahabat bertanya “Di mana mereka itu”? Rasulullah S.A.W menjawab, “Mereka berada di Baitul Makdis dan di sekitar Baitul Makdis. (Imam Ahmad)
 
Akhirnya khatib hendak menyampaikan pesan dari seorang pimpinan yang berada di barisan strategik dalam isu Palestin di peringkat antarabangsa iaitu Syeikh Ibrahim Munir.
 
“Isu Palestin adalah isu ummah, isu yang ada di dalam al-Quran dan dibaca sebagai ibadah. Oleh itu kenapa kita tidak jadikan isu ini sebagai satu tuntutan ibadah? Ia merupakan isu yang mengajak kita menetapkan makna ‘Ibadullah’ (hamba Allah) dalam membuat persediaan untuk mencapai kemenangan. Ummah tidak sekali-kali dapat hidup melainkan dengan kembali memikirkan tentang isu ini. Siapakah yang akan menanggung isu ini? Secara hakikatnya kitalah seluruh umat Islam wajib tangani isu ini. Kita mengharapkan segenap kekuatan ummah digembeling kepada isu ini. Itulah jaminan kemenangan untuk membebaskan Baitulmakdis.”
 
 
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِى الْقُرْآنِ الْعَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الأيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيْمُ. أَقُوْلُ قَوْلِيْ هَذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ الأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالأَمْوَاتِ، فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُوْرُ الرَّحِيْمُ.
 
 
Teks disediakan oleh:
 
Prof. Madya Dr. Hafidzi Mohd Noor
Pengerusi
MyCARE
 

Add comment


Find us on Facebook
Find us on YouTube
Find us on Scribd
Follow Us on SoundCloud