Print

Selepas 70 tahun mengapa An-Nakbah masih relevan

on .

Sedar atau tidak, Palestin sudah 70 tahun dijajah oleh rejim Zionis Israel dan selama itu jugalah negara haram Israel telah bertapak di atas tanah rakyat Palestin yang dirampas.

Semalam, 14 Mei 2018, dunia menyaksikan Israel meraikan 70 tahun penubuhannya dengan penuh angkuh apabila terus mendapat sokongan kuasa besar dunia, Amerika Syarikat, yang merasmikan kedutaan baru yang dipindahkan dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis (Jerusalem). Biarpun mendapat kecaman dan bantahan 128 buah negara di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Amerika Syarikat tetap meneruskan perancangan untuk mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.

Tindakan terbaru Amerika Syarikat ini sekali lagi mengesahkan projek penjajahan (colonial project) ke atas Palestin oleh Zionis Israel dan sekutu-sekutunya; projek warisan penjajah barat yang telah berjalan sejak 100 tahun yang lalu. Ia juga membuktikan bahawa Israel dan kuasa barat tidak jujur dalam rundingan damai dengan rakyat Palestin selama ini. Rundingan yang dilakukan ternyata bertujuan untuk melengah-lengahkan masa agar lebih banyak tanah Palestin dapat dirampas.

Pengiktirafan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel oleh Amerika Syarikat menyebabkan rakyat Palestin secara rasmi kehilangan satu lagi wilayah ke tangan Zionis Israel iaitu wilayah Baitumaqdis Timur. Tindakan ini jelas bertentangan dengan idea penyelesaian dua negara (two-state solution) yang menetapkan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara Palestin di masa depan selepas Palestin dikurniakan kemerdekaan dan bebas daripada penjajahan Zionis Israel (itu pun hanya di atas 22% daripada tanah asal Palestin yang masih berbaki selepas Perang Arab-Israel 1948).

Presiden Trump ketika mengumumkan pengiktirafan ini dengan bangga menyebut bahawa Amerika Syarikat telah berjaya memuktamadkan buat selama-lamanya persoalan Baitulmaqdis dalam konflik Israel-Palestin walhal realitinya tiada pemimpin Palestin yang bersedia untuk berkompromi dalam isu Baitulmaqdis. Ia adalah pengkhianatan kepada persetujuan sebelum ini dan rompakan terang-terangan ke atas hak rakyat Palestin.

Sikap biadab seperti inilah yang menjadi punca kepada malapetaka (an-Nakbah) yang menimpa rakyat Palestin selama ini. Zionis Israel dengan sokongan kuasa besar dunia sewenang-wenangnya menggunakan kekuatan tentera, politik dan pengaruh mereka untuk merampas tanah Palestin, membunuh dan menghalau penduduknya tanpa perlu risau tentang tindakan antarabangsa.

Akibatnya, kita menyaksikan pebagai penderitaan rakyat Palestin yang begitu menyayat hati sejak tahun 1948 - sama ada yang berada di kem-kem pelarian, di wilayah Gaza yang terkepung, di Tebing Barat yang diperintah di bawah undang-undang tentera dan di wilayah Palestin 1948 (Israel pada hari ini) yang berdepan dengan pelbagai diskriminasi.

Semalam, ketika Ivanka Trump dan Kushner bergembira meraikan pembukaan kedutaan Amerika Syarikat di Baitulmaqdis, rakyat Palestin yang melakukan perhimpunan aman membantah tindakan tersebut di sempadan Gaza-Israel telah dihujani peluru-peluru oleh tentera Zionis Israel; peluru yang besar kemungkinan juga dibekalkan oleh Amerika Syarikat.

Ketika artikel ini ditulis, 58 orang dilaporkan telah terkorban (termasuk 6 orang kanak-kanak dan seorang bayi perempuan) dan 2,000 orang tercedera (78 daripadanya adalah wanita). Tiada air mata yang mengalir untuk mereka. Tiada ucapan simpati ke atas mangsa pembunuhan kejam rejim Zionis Israel ini biarpun kekejaman ini berlaku 100km sahaja daripada majlis tersebut.

Kebiadaban dan kezaliman serta penafian hak ke atas rakyat Palestin yang berterusan sehingga hari ini adalah sebab mengapa perbincangan tentang an-Nakbah masih relevan sehingga hari ini walaupun 70 tahun telah berlalu. Ia menuntut kita untuk mengambil pendirian yang tegas untuk terus membela rakyat Palestin dan menuntut keadilan buat mereka.

Gambar: Layla al-Ghandoor, bayi berumur 8 bulan dipeluk oleh ibunya buat kali terakhir. Layla terkorban selepas diserang dengan gas pemedih mata semalam oleh tentera Zionis Israel.

Add comment


Find us on Facebook
Find us on YouTube
Find us on Scribd
Follow Us on SoundCloud