Print

Memperingati perang ketiga Gaza, Ma’rakat Asfim Ma’kul (8 Julai – 26 Ogos 2014, 7 minggu)

on .

Memperingati perang ketiga Gaza, Ma’rakat Asfim Ma’kul (8 Julai – 26 Ogos 2014, 7 minggu)

Awal pagi 8 Julai 2014 bersamaan 10 Ramadan 1435H, rejim Zionis Israel telah melancarkan ‘Operation Protective Edge’ ke atas Gaza dalam cubaan menghapuskan kumpulan pejuang Palestin di sana. Rejim Zionis Israel melancarkan serangan melalui udara selama seminggu diikuti serangan darat bermula 17 Julai 2014 menyebabkan kematian dan kemusnahan yang amat dahsyat. Menurut United Nations Human Rights Committee, seramai 1,462 orang awam terbunuh dan suku daripadanya adalah KORBAN KANAK-KANAK iaitu seramai 551/556 orang!

Seramai 10,626 orang rakyat Palestin cedera dan puluhan ribu rumah musnah sepenuhnya menyebabkan ratusan ribu penduduk Gaza menjadi pelarian. Bangunan awam seperti hospital, sekolah, masjid, gereja, dan kubur turut musnah dalam angka yang besar. Seramai 789 pejuang Palestin terkorban dalam perang ini.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dengan angkuh menyatakan bahawa pihaknya meraih kemenangan walaupun ia bertentangan dengan apa yang berlaku.

=============

Operasi ini merupakan rentetan kepada ‘Operation Brother’s Keeper’ yang dilancarkan IDF bagi menjejaki suspek dan mangsa penculikan 3 orang remaja Israel dari penempatan haram Yahudi di Hebron. Israel menuduh Hamas sebagai dalang penculikan tetapi Hamas menafikannya.

Ketiga-tiga mangsa ini kemudiannya telah dijumpai mati dan keganasan tercetus apabila seorang remaja Palestin, Muhammad Abu Khdeir telah diculik dan dibakar hidup-hidup oleh kumpulan ekstremis Yahudi dalam satu insiden yang dipercayai sebagai tindakan balas dendam (price-tag attack).

=============

Media antarabangsa rata-rata mengaitkan insiden kehilangan 3 remaja Yahudi di Hebron, Tebing Barat pada 12 Jun 2014 sebagai punca kepada serangan terbaru Israel ke atas Gaza. Israel pantas menuduh HAMAS sebagai dalang di sebalik insiden ini sungguh pun tanpa bukti kukuh lantas melancarkan Operation Brother’s Keeper selama 18 hari (13-30 Jun 2014) yang menyaksikan lebih 13 orang rakyat Palestin terkorban, 1,000 cedera dan lebih 600 orang ditahan (60% adalah ahli dan pemimpin HAMAS).

Hebron dikenakan perintah berkurung sementara 2,100 rumah dan premis digeledah. Kerugian dianggarkan mencecah hampir 3 juta dolar Amerika. Operasi Brother’s Keeper mendedahkan muslihat sebenar Zionis Israel memulakan perang iaitu untuk memberikan tekanan kepada HAMAS dan menggagalkan perdamaian HAMAS-Fatah.Kedua-dua pihak telah menandatangani Perjanjian as-Shati’ pada 23 April lalu bagi menamatkan perseteruan mereka dan berusaha ke arah pembentukan Kerajaan Perpaduan Palestin. Perdamaian ini menyebabkan Israel hilang rakan damainya (Fatah) dan meningkatkan kemungkinan pengukuhan kedudukan HAMAS. Tembelang Israel akhirnya terbongkar apabila siasatan mengesahkan bahawa 3 remaja Yahudi yang hilang dan kemudian dijumpai mati itu bukan angkara HAMAS.

Namun, Israel mendapat momentum baru apabila ‘price-tag attack’ kumpulan ekstremis Yahudi yang ingin membalas dendam kematian 3 remaja Yahudi yang hilang sebelum ini berakhir dengan kematian tragis remaja Palestin, Muhammad Abu Khdeir, 16 tahun yang diculik dan dibakar hidup-hidup. Insiden ini telah menaikkan kemarahan penduduk Palestin yang bertindak balas melancarkan rusuhan di seluruh Tebing Barat dan serangan roket dari Gaza. Respon ini telah dijadikan justifikasi oleh Israel untuk melancarkan perang baru ke atas Gaza seperti yang kita lihat kesannya pada hari ini.

=============

Operation Protective Edge ini mengingatkan kita kepada dua operasi ketenteraan Israel yang pernah dilancarkan ke atas Gaza sebelum ini – ‘Operation Cast Lead / Ma’rakat Furqan’ (2008/2009) dan ‘Operation Pillar of Defence / Ma’rakat Hijaratus Sijjil’ (2012).

Serangan 2008/2009 berakhir dengan gencatan senjata unilateral oleh Israel manakala serangan 2012 berakhir dengan gencatan senjata kedua-dua belah pihak yang dibroker oleh Presiden Mesir, Muhammad Morsi. Dalam ketiga-tiga perang ini, Zionis Israel telah membuat provokasi dan mencipta alasan untuk menghalalkan serangannya ke atas Gaza.

=============

Sebelum perang 2014, Zionis Israel sudah lebih 200 kali mencabuli gencatan senjata yang ditandatangani pada November 2012. Dari November 2012 hingga Februari 2014, provokasi Israel telah menyebabkan 8 orang rakyat Palestin terkorban, 120 cedera, berpuluh-puluh rumah dirobohkan, tanah dirampas, ladang dimusnahkan dan sekatan ke atas keperluan harian (bahan api, air bersih, makanan, bahan binaan) diteruskan bertentangan dengan syarat-syarat gencatan senjata juga undang-undang antarabangsa. Dengan kata lain, Israel telah lama mencabuli gencatan senjata 2012 dan menggunakan hubungan istimewanya dengan Amerika Syarikat untuk memastikan tindakannya sentiasa dibela.

Pencabulan-pencabulan ini tidak mendapat perhatian pihak media kerana naratif berbeza akan dikecam sebagai anti-semitik dan pro-keganasan oleh kumpulan lobi Israel. Fokus hanya diberikan kepada tindakan (baca: serangan) Israel untuk mempertahankan diri daripada serangan roket HAMAS yang mengancam keamanan mereka.

Dalam perang kali ini, Israel telah bertindak lebih kejam dengan mempermain-mainkan malah melakukan penipuan dalam waktu gencatan senjata kemanusiaan. Bermula dengan sandiwara mereka bersetuju secara unilateral dengan tawaran gencatan senjata dari pihak Mesir pada 14 Julai 2014, Israel meneruskan kelicikan mereka dengan menyerang Gaza di pinggir waktu (beberapa jam atau minit sebelum dan selepas) gencatan senjata kemanusiaan (humanitarian ceasefire) hingga menyebabkan beratus-ratus rakyat Palestin terkorban dalam waktu yang singkat.

Dalam perang ini juga, Israel memperdaya seluruh dunia untuk menghentikan serangan selama 72 jam bermula pada 1 Ogos (5 Syawal 1435H) tetapi mereka bertindak mencabuli gencatan senjata ini seawal jam pertama atas alasan tentera mereka, Hadar Goldin diculik oleh HAMAS. Bukti kemudian mengesahkan Hadar terkorban dan bukannya diculik.

=============

Dalam konflik perang 2014 ini, tentera Zionis Israel menyasarkan beberapa buah keluarga. Antaranya adalah keluarga Imam Dr. Fadi al-Batsh (17 orang terkorban). Selain itu, Syujaiyah adalah kawasan yang paling teruk menerima serangan Zionis Israel seperti tertera dalam gambar heat map.

=============

Sumber:

1. It Turns Out Hamas May Not Have Kidnapped and Killed the 3 Israeli Teens After All : http://nym.ag/UsIhlZ
2. Israel’s war on the Palestinian people in Gaza : http://bit.ly/1m0DfDx
3. Israel’s Operation Protective Edge: Why now? : http://bit.ly/UY49Wt
4. Operation Protective Edge: Reading between the lines : http://bit.ly/1s8Acyi
5. Israel, not Hamas, is the serial truce-breaker : http://bit.ly/1kow48O
6. Euromid Observer for Human Rights : https://www.facebook.com/euromid
7. List of families targeted by Israeli shellings, airstrikes : http://bit.ly/1qdPv7u
8. Israel is using three internationally banned weapons in Gaza : http://bit.ly/1pVajPD
9. Gaza plastic surgeons overwhelmed by war injuries : http://bit.ly/1uhtPtL
10. Israel has caused ‘$5 billion’ damage to Gaza homes, infrastructure : http://bit.ly/1zO8xH6
11. Ceasefire ends amid intense Rafah clashes : http://bit.ly/UF5H83
12. Israel says missing soldier killed in battle, body still missing : http://bit.ly/1o8f0Kz

Add comment


Find us on Facebook
Find us on YouTube
Find us on Scribd
Follow Us on SoundCloud